Friday, August 29, 2008

3 lagi tuntutan - MalaysiaKini

Cuepacs menyambut baik pemberian bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan bajet hari ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, pembayaran bonus tersebut telah memenuhi janji perdana menteri kepada tuntutan Cuepacs awal tahun ini.

Bagaimanapun, perdana menteri, kata Omar, tidak memberi respons kepada tiga lagi tuntutan Cuepacs.

Tiga tuntutan tersebut ialah imbuhan tetap perumahan, mengkaji semula penilaian tahap kecekapan (PTK) dan penyelarasan Cola untuk semua kakitangan awam.

"Pembayaran bonus itu menunjukkan kerajaan memahami masalah peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh kakitangan awam berpendapatan rendah setelah kenaikan harga barangan.

"Dan selepas ini kita berharap kerajaan akan memenuhi tuntutan Cuepacs yang lain," katanya ketika diminta mengulas pembayaran bonus sebulan gaji atau RM1,000 kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, ada kira-kira 1.3 juta kakitangan awam di seluruh termasuk 50,000 yang berkhidmat secara sambilan dan kontrak.

Tuntutan Cola

Omar berkata, kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah memerlukan imbuhan tetap perumahan kerana kadar sewa rumah yang mahal terutama di bandar-bandar besar.

Katanya, ada kakitangan awam yang terpaksa membelanjakan separuh daripada pendapatan mereka untuk bayaran sewa rumah.

Beliau berkata, Cuepacs meminta kerajaan mengkaji semula PTK kerana ia tidak menggambarkan kebolehan sebenar kakitangan awam.

Mengenai Cola, Omar berkata, pembayaran yang dibuat sekarang tidak selaras kerana ia bergantung kepada tempat mereka bertugas.

"Ketika ini mereka dibayar antara RM100 hingga RM300 seorang tetapi Cuepacs meminta ia diselaraskan kerana harga barangan adalah sama," katanya.

Beliau berkata, Cuepacs menghantar tuntutan Cola kepada perdana menteri dua bulan lalu.

Sumber : MalaysiaKini

No comments: