Wednesday, August 27, 2008

Salam dan Pesan Buat Ahli Parlimen Permatang Pauh

SEMUANYA sudah selesai namun belum berakhir! Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang dianggap memeritkan dan paling ganas dan kejam sudah pun tamat. Namun kesan, hala tuju dan agenda selepas kemenangan itu masih belum selesai. Perjuangan Anwar baru bermula hari ini, selepas beliau dinobatkan sebagai ahli Parlimen.

Seperti mana saya kata, kemenangan itu seolah-olah Anwar baru memakai baju perang, lengkap dengan senjata, semangat semakin membumbui dan memulakan langkah ke medan perang. Jalan-jalan yang bakal dilalui makin mencabar namun puncak impian kian merendah.
BN dan seluruh warga termasuk mereka yang mencurigai perjuangan Anwar, yang mencemuhi peribadinya harus akur dan menerima hakikat yang berlaku kini! Bahawa kebangkitan rakyat sudah melata. Gelombang dan suara rakyat yang ingin perubahan tidak boleh disekat dan dihalang lagi. Bahawa seluruh segenap lapisan rakyat bersama Anwar dan mahukan Anwar berada di hadapan menghayun langkah bangsa membentuk Malaysia baru lebih merdeka.

Hormatilah pilihan raya yang baru berlangsung itu. Buktikan bahawa kita semua adalah pendokong demokrasi yang demokratik. Jangan ada selepas ini berbagai kecaman, komentar yang menandakan kelemahan diri kita sendiri. Umno terutamanya hendaklah menerima realiti yang berlaku kini dan bermahasabah atas bahana yang diterima.

Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak perlu sedar
bahawa nyawa politik mereka kian terancam. Dalam konteks ini apa yang mereka kena fikir bukan diri mereka namun diri dan nasib parti mereka, Umno. Waktu kini bukan untuk menyelamatkan diri lagi, tetapi menyelamat wadah yang dikatakan keramat namun sudah berkarat berulat itu.

Keduanya Abdullah dan Mohd Najib perlu melepaskan jawatan sekiranya keduanya masih ada maruah tersisa! Umno harus dipimpin oleh mereka yang berjiwa rakyat dan bersih dari segala nesta atau mereka yang tidak berhajat menjadikan Umno sebagai bahan pesaka.

Kemenangan Anwar bukan kerana nasib, tetapi lantaran pengorbanan besar rakyat. Kemenangan itu adalah mesej besar daripada nuasa. Majoriti sebanyak 15,671 undi adalah majoriti yang merupakan isyarat kepada BN bersiap sedia membeli kain kapan untuk membungkus mayat sendiri kemudian dikuburkan dalam lubang yang mereka menggalinya lama sebelum ini.

Kita yakin kalau Anwar tidak dikhianti; kemenangan yang diraihkan sekejap tadi akan menjadi cahaya yang menyuluh jalan gelap yang dilalui selama lebih 10 tahun lalu. Seperti mana saya sebutkan sebelum ini, BN harus membuat pulut kuning untuk meraikan kemenangan Anwar dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan kepada bekas TPM itu.

Saya yakin Anwar yang bererti “bercahaya” bukan seorang pendendam dan bersedia menerima maaf daripada Umno dan pemimpinnya; baik peringkat cawangan, bahagian dan pusat. Dan sebagai balasan paling afdal untuk dianugerahkan kepada Anwar atas kemenangan besar itu, dan penebusan dosa ialah dengan menarik balik pendakwaan ke atasnya dan berilah peluang kepadanya untuk memimpin negara ini secara terhormat.

Tahniah kepada Anwar Ibrahim dan tahniah juga kepada semua pendokongnya. Secebis pesanan ikhlas semoga kemenangan itu membersihkan Anwar dari segala kekotoran dan memberikan peluang baginya memperbetulkan kekhilafannya selama ini. Anggaplah kemenangan malam ini satu kelahiran baru Anwar yang putih bersih dan dipenuhi sejuta keharuman tulip dari sejuta taman! Dan tidak terlupa salam dan pesan bahagia ini juga buat Azizah!

Sumber : MSO

No comments: